NOTIS & PENAFIAN

Segala artikel yang disiarkan di laman blog ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ianya tidak mewakili mana-mana parti, orginasasi atau mana-mana pertubuhan. Jika berlaku sebarang kecelaruan emosi ketika membaca atau menyaksikan bahan-bahan yang dipaparkan ianya di luar tanggungjawab penulis. Ingin berkongsi artikel dan maklumat yang menarik emelkan kepada : yuseriyusoff@gmail.com

Thursday, October 27, 2011

Butiran Penting Penggulungan Dato Seri Hishammuddin Tun Hussein



Antara butiran penting penggulungan Menteri Dalam Negeri.

Langkah jimat cermat KDN

Sepanjang tempoh dua tahun ini, KDN telah melaksanakan pendekatan kreatif dan inovatif bagi membantu kerajaan mengurangkan perbelanjaan dan berjimat cermat. Kerjasama antara Jabatan Penjara Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti dalam Program Pemulihan Pemasyarakatan merupakan sebuah program pemulihan di luar tembok penjara.

Kerajaan telah menjimatkan sebanyak RM45.7 juta ringgit bagi setiap program kerjasama ini. Sehingga kini, Program Pemulihan Pemasyarakatan telah dilaksanakan di 5 kem ATM di seluruh negara yang melibat 1,106 orang yang banduan.

Selain Program Pemulihan Pemasyarakatan, pendekatan inovatif melalui kerjasama antara PDRM dan ATM juga digunakan bagi mengadakan program latihan asas kepolisan di kem-kem tentera. Melalui kerjasama ini, Kerajaan dapat mengatasi masalah kekurangan pusat latihan polis dan dapat menggandakan jumlah anggota polis dalam masa terdekat tanpa perlu membina pusat-pusat latihan polis yang baru. 

Langkah ini telah berjaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan kerana, pembinaan sebuah pusat latihan polis yang baru memerlukan peruntukan berjumlah RM250 juta.

Pencapaian NKRA hasil usaha terancang, bukan ad-hoc atau kebetulan

Sukacita, saya menyatakan bahawa Kerajaan serius untuk melaksanakan NKRA. Kejayaan menurunkan indeks jenayah adalah satu usaha terancang dan bukan dilaksanakan secara ad-hoc atau berlaku secara kebetulan.

KDN telah menubuhkan makmal NKRA Mengurangkan Jenayah pada penghujung 2009 melibatkan pelbagai pihak dengan pelbagai kepakaran. Sebanyak 55 inisiatif telah dikenalpasti untuk dilaksanakan oleh pelbagai pihak yang turut merentasi Kementerian dan Agensi.

KDN telah mengenalpasti 4 negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang yang mempunyai kejadian jenayah paling tinggi dan menyumbang kepada 72% kejadian jenayah pada tahun 2008. Seterusnya 50 kawasan di negeri-negeri tersebut telah dikategorikan sebagai kawasan hotspot dijadikan sebagai tumpuan untuk melaksanakan inisiatif mengurangkan jenayah oleh PDRM.

Melalui inisiatif NKRA, Kerajaan telah melaksanakan program omnipresence di kawasan hot spot empat negeri tersebut. Seramai 3,781 orang anggota RELA terlibat dan dilantik sebagai sukarelawan polis. 

Program omnipresence telah dikembangkan ke Sabah dan Sarawak mulai awal bulan ini di mana 184 anggota RELA telah bertugas di lima balai polis di Sabah dan 636 anggota RELA lagi bertugas di enam balai polis di Sarawak. Jumlah keseluruhan anggota RELA tersebut dalam program ini adalah seramai 4,601 orang.

Bagi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) seramai 1,540 anggota terlibat di 4 buah negeri tersebut dan seramai 144 orang lagi terlibat di Sabah manakala di Sarawak seramai 103 orang anggota terlibat di bawah program ini.

Hakikatnya, pencapaian kita adalah jauh lebih baik dari apa yang disasarkan. Misalnya bagi Jenayah Indeks, walaupun sasaran yang ditetapkan adalah penurunan sebanyak 5% jenayah indeks berbanding tahun 2009, tetapi statistik menunjukkan, sehingga Oktober tahun ini, kadar jenayah telah berjaya dikurangkan sebanyak 24.2% iaitu melebihi 19.2% daripada sasaran asal yang ditetapkan.

Bagi kes Jenayah Jalanan, Kerajaan telah menetapkan sasaran sebanyak 15% penurunan, tetapi sehingga bulan Julai tahun ini, Jenayah Jalanan telah berjaya dikurangkan sebanyak 40.7%, iaitu lebihan penurunan sebanyak 25.7% dari sasaran asal.

Polis berhak marah dan pertahan diri bila maruah dicemar, itu bukan berpolitik

Y.B. Parit Buntar mendakwa pihak polis terlibat di dalam politik ekoran terdapatnya satu surat arahan pentadbiran. Saya ingin menyampaikan pendirian PDRM yang menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan Y.B. Parit Buntar berkenaan dakwaan Polis telah dipolitikkan dalam isu kes Mohamad Sabu. Surat arahan pentadbiran tersebut dikeluarkan sebagai tanda bantahan terhadap fitnah yang dibuat oleh Mohamad Sabu. 

Seluruh warga PDRM berhak merasa marah sekiranya ada pihak mempertikai dan memperlekeh sumbangan mereka. Dalam kes Mat Sabu ini, ia lebih berat kerana dia melabelkan anggota polis yang terkorban dalam pertempuran dengan komunis sebagai pegawai penjajah dan menafikan peranan mereka dalam kemerdekaan negara.

Dalam negara yang mengamalkan demokrasi adalah menjadi hak PDRM dan mana-mana organisasi yang lain mempertahankan maruah dan martabat sesuatu organisasi apabila dicemar dengan kenyataan yang tidak benar, lebih-lebih lagi apabila dakwaan Mohamad Sabu ini dilihat sebagai menjatuhkan maruah dan imej anggota polis dan pasukan PDRM.

Warga Afrika dipantau, ditangkap jika menyalahi Akta Imigresen

Sehubungan perkara yang dibawa oleh Y.B. Hulu Terengganu dan Y.B. Sri Gading berkenaan kemasukan warganegara dari negara-negara Afrika, mereka ini dikawal melalui kawalan/tapisan oleh Kerajaan Malaysia dan Jabatan Imigresen dengan mewajibkan memiliki VISA yang dikeluarkan oleh Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara tersebut.

Tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen bersama agensi kerajaan yang lain terhadap warganegara ini dijalankan secara berkala. Sejumlah 1,960 orang dari berbagai warganegara telah ditangkap oleh Jabatan Imigresen dari Januari – September 2011 kerana kesalahan dibawah Akta Imigresen.

Tapisan khusus bagi warga Afrika dibuat oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang mana pelajar-pelajar Afrika diwajibkan mengemukakan dokumen “ No Objection Certificate” (NOC) yang dikeluarkan oleh negara-negara berkenaan, bertujuan untuk memastikan hanya pelajar yang benar-benar layak sahaja belajar di luar negeri. 

KPT dan KPM telah membuat pemeriksaan secara berkala di IPTA,IPTS bagi memantau aktiviti pelajar-pelajar Negara Afrika yang berjumlah 19,000 orang bagi tempoh Januari-September 2011. KDN dan KPT serta Kementerian lain yang berkaitan sedang meneliti semula pengeluaran Pas Pelajar. Keputusan penelitian ini akan dimaklumkan kemudian.

Tuduhan (rasis) Ipoh Barat dan Seremban tidak berasas

Y.B Ipoh Barat dan Y.B Seremban menyatakan 40% penghuni penjara adalah terdiri daripada masyarakat India. Kenyataan tersebut adalah tidak tepat sama sekali kerana berasaskan statistik Jabatan Penjara Malaysia pada 17 Oktober 2011 tiada satupun institusi penjara dari sejumlah 40 buah yang mempunyai jumlah penghuni kaum India pada kadar 40% atau lebih berbanding dengan penghuni kaum lain.

Pemansuhan ISA dan undang-undang darurat diperjelaskan

Bagi persoalan ISA sebagaimana yang dibangkitkan oleh Y.B. Permatang Pauh, Y.B Klang dan Y.B. Batu Gajah. Draf rang undang-undang bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang bakal dimansuhkan sedang di gubal oleh Jabatan Peguam Negara. 

Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara sebagai peneraju bersama-sama KDN sedang membuat penelitian terhadap penggubalan dua (2) rang undang-undang baru iaitu undang-undang mengenai keganasan danundang-undang mengenai keselamatan dan ketenteraman awam seperti yang telah diamanatkan oleh YAB Perdana Menteri melalui ucapannya pada 15 September lalu.

Berkenaan dengan Akta Kediaman Terhad sebagaimana yang dibangkitkan oleh Y.B. Pokok Sena. Keputusan Kerajaan dalam memansuhkan Akta Kediaman Terhad 1933 serta melaksanakan Perintah Pembatalan Sekatan terhadap 125 orang individu dan menarik balik 200 waran tangkap adalah merupakan permulaan kepada Program Tranformasi Politik Negara.

Bagi Akta Akta Buang Negeri 1959 sebagaimana yang dibangkitkan oleh Y.B. Limbang. Pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 hanya memberi kesan kepada mereka yang telah dikenakan tindakan di bawah Akta-akta tersebut sahaja. Selain itu, terdapat juga mereka yang sedang menjalani Perintah Sekatan atau dibuang daerah di bawah undang-undang pencegahan yang lain.

6P dan 5P di Sabah

Program 6P merupakan salah satu inisiatif Kerajaan bagi memastikan pengurusan warga asing dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, merangkumi enam proses berkaitan PATI iaitu Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran.

Atas permintaan Kerajaan Negeri Sabah hanya akan melaksanakan 5P iaitu tanpa Proses Pemutihan kerana proses pemutihan/regularisasi telah dilaksanakan beberapa kali di negeri berkenaan dengan kali terakhir pada tahun 2009.

Sehingga tarikh tamat Proses Pendaftaran Program 6P iaitu pada 31 Ogos 2011 seramai 2,320,034 orang PATI dan pekerja asing sah telah berdaftar melalui sistem biometrik. Daripada jumlah tersebut, seramai 1,303,126 (56%) adalah PATI dan seramai 1,016,908 orang (44%) pula adalah pekerja asing yang sah. Bagi Pekerja Asing Sah, angka tersebut tidak termasuk Pembantu Rumah Asing, Pegawai Dagang, Peserta MM2H, Pelajar Asing dan Pemegang Kad UNHCR.

Pembersihan data pengundi dan dakwaan pemberian kad pengenalan kepada warga asing

Berkenaan dengan kerjasama di antara JPN dan SPR dalam usaha membersihkan data pemilih yang dibangkitkan, JPN sentiasa bekerjasama dengan semua agensi kerajaan mengikut keperluan agensi tersebut seperti SPR kerana JPN merupakan agensi yang bertanggungjawab menyimpan dan menyenggara semua maklumat dan data kependudukan negara. KDN komited dan sentiasa bekerjasama dengan SPR dalam usaha mengemaskini senarai nama daftar pemilih tersebut.

Merujuk kepada kerjasama tersebut ianya telahpun wujud sejak sekian lama melalui perkongsian maklumat dan pengesahan data yang berkait dengan data pemilih. Selain daripada itu juga, perbincangan, mesyuarat dan dialog turut diadakan dari semasa ke semasa menurut keperluan.

KDN dalam hal ini akan memberi kerjasama kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang dijadual bermesyuarat pada 2 November ini. Isu-isu yang berkaitan akan dijelaskan secara terperinci dalam mesyuarat tersebut. Segala isu-isu berkenaan pemberiaan kewarganegaraan akan kita perjelaskan di dalam JPK tersebut nanti.

Suka saya menyatakan bahawa KDN turut ingin melihat daftar pemilih yang bersih.

Bagi menjawab soalan tambahan mengenai isu rakyat Bangladesh dan Indonesia yang didakwa dibawa ke Putrajaya untuk diberikan kewarganegaraan dan didaftar sebagai pemilih baru-baru ini, ingin saya tegaskan bahawa isu sebegini bukan pertama kali dibangkitkan oleh pihak pembangkang.

Sebelum ini, isu pemberian kerakyatan kepada warga Bangladesh untuk tujuan dijadikan pengundi pernah dibangkitkan. Penjelasan telah diberikan berserta fakta dan data bagi menjawab dakwaan tersebut. 

Berdasarkan fakta berkenaan, hanya 37 rakyat Bangladesh yang telah diberikan sijil kerakyatan negara ini sejak 1998 sehingga Ogos 2011 di mana daripada jumlah tersebut hanya 14 orang didapati layak mengundi dan seterusnya hanya 7 orang sahaja yang telah mendaftar sebagai pengundi. Tetapi pihak pembangkang kemudiannya mengalih atau mengubah tiang gol mereka kepada isu-isu lain pula selepas KDN memperjelaskan perkara tersebut.

Sekarang ini satu lagi isu pula telah ditimbulkan. Seperti yang telah saya sebutkan tadi, segala isu-isu berhubungkait dengan pemberiaan kerakyatan negara ini kepada warga asing akan kita perjelaskan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) itu nanti. KDN akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada JPK dengan memberikan penjelasan secara terperinci dalam mesyuarat tersebut. Pihak KDN tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan.

Bersih adalah perhimpunan haram oleh pertubuhan haram, HIMPUN perhimpunan yang tidak ganggu orang ramai dan tidak gugat ketenteraman awam

Berkenaan dengan isu perhimpunan haram BERSIH pada 9 Julai lalu, yang utamanya, BERSIH telah diwartakan sebagai pertubuhan haram oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.

Kos operasi keseluruhan yang dibelanjakan oleh PDRM bagi menangani Perhimpunan BERSIH pada 9 Julai lalu adalah sebanyak RM 2,018,850.06. Perbelanjaan ini adalah meliputi perbelanjaan bagi perolehan kelengkapan tambahan, makan minum, penginapan dan keperluan logistik yang lain.

Kerajaan amat prihatin terhadap suara rakyat yang inginkan kebebasan untuk berhimpun dan bersuara. Walau bagaimanapun, kebebasan ini perlu diseimbangkan dengan kewajipan Kerajaan untuk memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.

Penyalahgunaan kebebasan bersuara dan berhimpun seperti mengadakan demontrasi jalanan sehingga menimbulkan kegelisahan dan ketegangan dalam masyarakat dan boleh menggugat keselamatan negara seharusnya dielakkan. 

Dalam masa yang sama, kerajaan mengambil inisiatif untuk meneliti beberapa perundangan negara-negara lain yang berkaitan dengan sebarang bentuk perhimpunan di kawasan yang melibatkan keselamatan awam.

Langkah ini adalah sebahagian daripada proses-proses transformasi dan keterbukaan yang sedang dan akan terus dilaksanakan oleh Kerajaan sebagaimana yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri termasuk pindaan kepada Seksyen 27 bagi mengadakan perhimpunan awam di sesebuah kawasan tertutup seperti stadium.

Sebagai contoh Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) yang diadakan di Stadium Shah Alam baru-baru ini adalah lebih terkawal dan tidak menimbulkan sebarang gangguan atau kekecohan sehingga boleh menggugat ketenteraman awam berbanding demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh pihak Bersih di Kuala Lumpur sebelum ini.

Berkenaan tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap mereka yang terlibat yang dibangkitkan, PDRM telah menjalankan siasatan ke atas mereka dan sebanyak 61 kertas siasatan telahpun dibuka dan telah dikemukakan ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang negara sedia ada.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

HOT MINGGU INI

Mesti Baca All Time HOT Artikel

RECOMMENDED

MACAM-MACAM ADO - [U,18SX,18SG,18PL]

News & Portal

Arkib Artikel Kawe...