Kenyataan  akhbar  ini dibuat untuk  menjelaskan perkara dan kedudukan sebenar yang   timbul berikutan  pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru.
Majlis   Angkat Sumpah Taat Setia  Setiausaha Kerajaan Selangor kepada Duli  Yang  Maha Mulia Sultan Selangor  yang akan diadakan pada hari Khamis, 6   Januari 2011, di Istana Bukit  Kayangan akan tetap diteruskan. Ini   adalah kerana sepengetahuan D.Y.M.M.  Sultan Selangor, Setiausaha   Kerajaan Selangor yang baru, Dato’ Haji  Mohamed Khusrin bin Haji Munawi   telah dilantik mengikut prosedur yang  ditetapkan dan selaras dengan   peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52  Undang-Undang Tubuh Kerajaan   Selangor 1959.
Pada   Majlis tersebut akan diadakan  upacara Pengurniaan Darjah Kebesaran   Negeri Selangor kepada D.Y.T.M.  Raja Muda Selangor sempena Ulang Tahun   Hari Keputeraan Yang Ke-65  D.Y.M.M. Sultan Selangor kerana ketika   Istiadat Pengurniaan Darjah  Kebesaran kepada penerima-penerima sempena   Ulang Tahun Hari Keputeraan  Ke 65 D.Y.M.M. Sultan Selangor yang   berlangsung pada 11 haribulan  Disember 2010, D.Y.T.M. Raja Muda   Selangor berada di luar negara.
Selain   daripada itu, pada Majlis  tersebut juga akan diadakan upacara Angkat   Sumpah Taat Setia Penjawat  Jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor dan   Pengarah Jabatan Agama Islam  Selangor, pelantikan dan Angkat Sumpah   Ahli Dewan di-Raja Selangor,  pelantikan dan Angkat Sumpah Jaksa   Pendamai Selangor, pelantikan 
Ahli  Majlis Agama Islam Selangor dan   Pelantikan Ketua Pendaftar Mahkamah  Rayuan Syariah Selangor. 
Semua   upacara diadakan pada satu masa adalah  untuk menjimatkan masa dan   kewangan.
Majlis   tersebut bukanlah merupakan  majlis pelantikan Setiausaha Kerajaan   Selangor yang baru tetapi  merupakan Majlis Angkat Sumpah Taat Setia   Setiausaha Kerajaan Selangor  kepada D.Y.M.M. Sultan 
Selangor dan untuk   berkhidmat dengan taat, setia  dan jujur kepada Negeri Selangor.
Berikutan   pelantikan Setiausaha Kerajaan  Selangor yang baru, selaras dengan   peruntukan Fasal (3) dan (4) Perkara  52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan   Selangor 1959, Setiausaha Kerajaan  Selangor yang baru hendaklah   mempunyai hak untuk mengambil bahagian  dalam prosiding Majlis Mesyuarat   Kerajaan dan Dewan Negeri setelah  mengangkat dan menandatangani  Sumpah  Simpan Rahsia di hadapan Y.A.B.  Dato’ Menteri Besar.
Berkenaan   dengan tulisan Ahli Dewan  Negeri Seri Muda, Y.B. Shuhaimi bin Haji   Shafiei pada 30 haribulan  Disember 2010 yang disiarkan di dalam laman   blog beliau. Dimaklumkan  bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor   tidak tertakluk kepada  peruntukan Fasal (1) dan (1A) Perkara 55   Undang-Undang Tubuh Kerajaan  Selangor 1959 sebagaimana yang dinyatakan   oleh beliau, kerana Baginda  hanya memberikan perkenan dan tidak   menjalankan fungsi dan kuasa Baginda  di bawah Undang-Undang Tubuh.   Perkenan Baginda tidak tertakluk kepada  peruntukan Fasal (1) dan (1A)   Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan  Selangor 1959         Perkara   55(1)(1A). Oleh itu, sindiran beliau yang  menyatakan D.Y.M.M. Sultan   Selangor seolah-olah sebagai “beraja di mata,  bersultan di hati” adalah   amat keterlaluan dan boleh mengelirukan  rakyat. 
Kenyataan beliau  yang  sedemikian boleh dianggap sebagai cuba  memberi amaran kepada  D.Y.M.M.  Sultan Selangor dan cuba mempengaruhi  rakyat untuk membenci  Baginda.
Mengulas   mengenai artikel pada 29  haribulan Disember 2010 di dalam akhbar  Sinar  Harian mengenai  “Pelantikan SUK Tidak Semestinya Dibuat SPA”  oleh Ahli  Dewan Negeri  Kampung Tunku, Y.B. Lau Weng San, yang  menyatakan  pelantikan Setiausaha  Kerajaan boleh dibuat oleh  Suruhanjaya  Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN).   Walaupun terdapat SPAN  di  negeri-negeri lain yang boleh melantik  Setiausaha Kerajaan, tetapi  di  Negeri Selangor kuasa pelantikan tersebut  adalah dijalankan oleh   Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan (SPA)  selaras dengan   peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Mengulas   mengenai kenyataan akhbar  Y.A.B. Dato’ Menteri Besar pada 3 Januari   2011 yang menyatakan D.Y.M.M.  Sultan Selangor telah berpandangan bahawa   Baginda tidak mempunyai kuasa  untuk menerima atau menolak calon-calon   yang dicadangkan oleh SPA adalah  kurang tepat.  Apa yang sebenarnya   berlaku, nama-nama calon untuk  jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri telah   disembahkan kepada Baginda oleh  Jabatan Perkhidmatan Awam yang   menjalankan kuasa Suruhanjaya  Perkhidmatan Awam Persekutuan selaras   dengan kedudukan Baginda sebagai  Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri   Selangor.  Baginda memberi perkenan  kepada salah satu calon yang   dicadangkan. 
 Selepas itu, calon tersebut  telah dipersetujui oleh   Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan  melalui surat yang   dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan  melantik mengikut   peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang  Tubuh Kerajaan   Selangor 1959.  Perkara ini telah menjadi amalan  (convention) di Negeri   Selangor.
Mengenai   cadangan Y.A.B. Dato’ Menteri  Besar untuk berbincang dengan JPA atau   SPA, D.Y.M.M. Sultan Selangor  sebenarnya telah menitahkan sepatutnya   Y.A.B. Dato’ Menteri Besar  mengadakan perbincangan pemilihan calon ini   sebelum calon-calon  disembahkan oleh JPA atau SPA kepada Baginda dan   bukannya berbincang  selepas jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor telah   diperkenankan oleh  Baginda dan dilantik seterusnya diisi oleh calon   yang berkenaan. 
Tindakan Y.A.B. Dato’ Menteri Besar untuk berbincang   dan memilih  calon-calon lain dengan JPA atau SPA setelah calon dilantik   adalah  tindakan yang tidak wajar diambil kerana boleh menjatuhkan   moral dan  kredibiliti serta integriti calon yang telah dilantik dan   juga boleh  mewujudkan satu suasana yang tidak baik dalam perkhidmatan   awam Negeri  Selangor.
Mengenai   cadangan pindaan Undang-Undang  Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang   dikatakan akan dibuat oleh Kerajaan  Negeri bagi mengembalikan kuasa   pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri  kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor,   Baginda menitahkan supaya cadangan  pindaan tersebut dipersembahkan   untuk mendapat perkenan Baginda terlebih  dahulu.
(DATO HAJI MOHAMAD MUNIR BIN BANI)
Tarikh : 4 Januari 2011
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Komen yang lari tajuk artikel mungkin akan dibuang. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.
Harap Maklum yer saudara....
-YY-