Wednesday, January 4, 2012

Selagi Rakyat Terbela, Usah Mimpi Revolusi Akan Berlaku...


Mari kita baca nasihat daripada saudara Zulfikar Hazri, untuk adik-adik kita yang jiwanya sentiasa memberontak.
Nasihat Ikhlas Untuk Demonstran Mahasiswa Depan UPSI... 
Assalamualaikum... 
Wahai adik-adik samada masih belajar dekat Universiti, Kolej dan sekolah menengah. Ketahuilah bahawa, abang sewaktu usia kamu semua, bergelojak darah muda. Merasakan setiap perjuangan itu adalah perjuangan yang benar asalkan matlamatnya memberontak melawan arus mainstream. 
Tapi apabila abang semakin meningkat dewasa, dan mengetahui akan realiti duniawi ini, maka tanggungjawab yang paling besar pada diri adalah perjuangan untuk terus hidup membela iman yang masih berbaki di dalam dada serta melangsaikan tanggungjawab diri pada tanggungan. Dan ketahuilah bahawa bumi Malaysia ini penuh rahmat dan berkat. 
Bagi mereka yang mahu mengakui dan pernah keluar dari negara dan membandingkan dengan negara lain yang lebih berpancaroba. Percayalah kamu bahawa negara ini belum terdesak untuk menerima roh Medan Tahrir kerana makan cukup di atas meja, sofa hempuk di depan TV, beras masih bertanak, belajar masih percuma, ubat masih seringgit. 
Selagi hak hakiki seorang manusia masih terbela, pemberontakan yang ada hanya provok membela nafsu beberapa insan. Jika manusia tertindas, manusia akan bangun secara automatiknya tanpa perlu diapi-apikan berbaring di jalan raya, dan memekik-mekik hingga hilang suara. 
Jika kamu benar, satu pekikan akan memanggil seluruh rakyat Tanjung Malim keluar mempertahankan kamu. Jika kamu benar, Polis akan simpati kepada kamu. Jika kamu benar, seluruh UPSI akan berombak bak riak air dicampak batu. 
Dan kamu perlu tahu, apa yang kamu lakukan tidak sedikit pun mampu menyaingi kehebatan pelajar berarak di jalan raya menuntut ITM menjadi Universiti pada tahun 70-an. Dan tidak mampu dijadikan kayu pengukur kebangkitan mahasiswa sama sekali. 
Jika dari video itu sebagai bukti, kamu mahu aku berfikir, maka simpati aku kepada pihak polis yang telah lembut gigi dari lidah masa memberi peluang kepada kamu agar kamu tidak tercetus rasa marah, namun kamu semua memang bermula dengan niat mahu ia menjadi perjuangan yang dizalimi dan meraih simpati. 
Kamu mahu kesan berantai, kamu mahu tangisan air mata darah pada perjuangan yang tidak pasti. Selagi mana manusia belum lapar, dan selagi mana rakyat masih merasa terbela haknya untuk Ilmu, Informasi, bermewah-mewah, berlibur dan tidak merasa takut maka negara tidak akan berevolusi secara tunjuk perasaaan. 
Demonstrasi itu adalah gerakan semulajadi yang akan bermula dengan satu isu remeh yang akan menjana riak gelombang ketidakpuasan hati seluruh manusia bak kesan domino tumbang. Pada waktu ia berlaku, sama sekali kemaraan rakyat tidak akan mampu dikekang lagi. 
Janganlah kamu semua bimbang dan memaksa-maksa harapan demo kamu menjadi nyata. Jika hak rakyat sudah tidak terbela, perubahan kerajaan itu akan berlaku semulajadi seperti mana berlaku pada pemerintahan Umayyah, Abassiyah, Uthmaniyah, Fathimiyah, kerajaan Roman, kerajaan Monarki Perancis, kerajaan Kolonial British di Tanah melayu, kolonial Belanda di Indonesia, kerajaan Kolonel Muaamar Gaddafi di Libya, kerajaan kapitalis di Havana, kerajaan Hosni Mubarak di Mesir dan berakhirnya pemerintahan Presiden Kulit putih di Amerika Syarikat. 
Dan dengan Automatiknya seorang wira pejuang rakyat akan bangkit dari mana-mana bak phoenix bangkit dari abu. Ketahuilah kamu bahawa matlamat tidak akan menghalalkan cara. 
Cara kamu menjadi ganas dengan tidak semena-mena, menfitnah, mengadu domba, dan mengapi-apikan akan hal yang bukan perjuangan pun pasti akan menimbulkan jelek kepada seluruh puak majoriti senyap! 
Akhir kata, Mari kita main agak-agak. "Agak-agak kamu semua, jika Rasulullah SAW dan Para Sahabat RA masih hidup dan melihat kamu memberontak, adakah mereka akan berbangga dengan akhlak yang kamu tunjukkan pada malam demonstrasi itu?"
Zulfikar Hazri - 2012

2 comments:

  1. HEBAT SEKALI TULISAN INI, MENDALAM SEKALI MAKSUD CETUSAN INI... DIHARAP SEMUA YANG TERLIBAT BELAJAR SESUATU DARI TULISAN TERSEBUT. KALAU TIADA MALANG , JANGAN IANYA DIUNDANG, KALAU TIADA ARAL, JANGAN IANYA DISAPA KERANA ALLAH AKAN MEMBERI SEPERTI APA YANG HAMBA HAJATI. SEKALI MUSIBAH MELANDA, GADAIAN EMAS SEKODI BELUM TENTU BERGANTI KEAMANAN.

    ReplyDelete

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Komen yang lari tajuk artikel mungkin akan dibuang. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.

Harap Maklum yer saudara....

-YY-