BN Sarawak akan membuat bedah siasat keputusan pilihan raya negeri 16 Mac lepas, kata Tan Sri Adenan Satem, Penasihat Khas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Beliau berkata semua wakil rakyat daripada BN akan juga menyediakan laporan kawasan masing-masing untuk mengenal pasti masalah-masalah yang dibangkitkan dalam kempen pilihan raya itu.
Laporan itu perlu disiapkan sebelum persidangan pertama Dewan Undangan Negeri pada Jun ini, katanya kepada pemberita di Kuching hari ini.
“BN akan membuat satu bedah siasat secara terperinci…di mana kita kalah dan di mana kita menang, isu yang dibangkit dan cara untuk mengatasi isu itu pada masa hadapan,” kata Adenan.
Beliau sebelum itu menghadiri mesyuarat BN yang dipengerusikan oleh Taib di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Ia dihadiri hampir kesemua ADUN daripada BN.
Adenan berkata mesyuarat turut membincangkan persiapan ADUN baru dalam BN dalam menghadapi persidangan dewan serta beberapa perkara yang perlu mereka ketengahkan pada persidangan itu nanti.
“Penjelasan tentang polisi kerajaan, pengurusan kerajaan, program serta beberapa lagi perkara juga diperjelaskan dalam mesyuarat hari ini,” katanya.
Ditanya sama ada rombakan kabinet dan bakal pengganti Taib sebagai Ketua Menteri turut dibincangkan, Adenan berkata : “Saya tidak mahu komen, perkara itu tidak pun dibincangkan.”
Pada pilihan raya negeri kali ini, BN menang 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Komen yang lari tajuk artikel mungkin akan dibuang. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.
Harap Maklum yer saudara....
-YY-